11:54 PM
1
Suatu saya berkunjung ke Kampung Padang Air iaitu sebuah kampung tempat Ustaz Haji Ismail Yusof dilahirkan, mantan Ketua Jabatan, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (KJ JAPIM) Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Dato' Razali Ismail, Kuala Terengganu. Beliau yang akan bersara dari kerjaya rasminya pada 19 Disember 2009 ini dengan tidak menyambung 2 tahun bonus tenaga hayat pihak kerajaan kurniakan kepada kakitangan tidak lama dulu.
Sewaktu berkunjung ke kampungnya itu, ada di kalangan sahabatnya dan juga sahabat saya bertanya tentang Ustaz Haji Ismail Yusof, sudah pencen atau belum?. Saya menjawab selamba sahaja, Insya Allah 19 Disember 2009 ini adalah tarikh akhir kerjayanya di IPGM Kampus Dato' Razali Ismail. Sahabat saya itu tadi terus menyambung bicara, Ustaz Haji Ismail Yusof pernah berkata kepadanya, dia mengambil sikap tidak menyambung 2 tahun lagi kerana malu kepada ayam pencen. Ayam pun pencen, katanya. Lebih kurang begitulah dialog dan maklumat yang saya terima dari sahabat saya yang kebetulan juga sahabat beliau.
Ekoran malu kepada ayam pun pencen, Ustaz Haji Ismail Yusof pun pencen. Apabila beliau pencen dari kerjayanya maka saya sifatkan pemergiannya dari JAPIM suatu kehilangan ibaratkan sebutir permata yang tidak bermata.Bersara wajib dari tugas rasminya, sepanjang perkhidmatannya beliau telah menurunkan ilmu kepada pensyarah-pensyarah secara tidak rasminya sepanjang kerjayanya. Sikap profesionalisme, keikhlasan dan semangat sayangkan organisasi, anak-anak didik, bangsa dan negara dipaparkan dengan keluhuran akhlaknya.
Segala bakti yang dicurahkan akan kekal segar dalam sanubari. Sumbangannya selama ini adalah untuk kecemerlangan. Persaraannya memberi pelbagai pengertian bagi setiap penjawat awam. Dalam konteks ini, saya yakin beliau cukup bersedia dan tidak menghadapi masalah besar dalam mengatur strategi untuk menghadapi dunia persaraannya. Saya lihat, beliau cukup gembira dengan mengakhiri kerjayanya kini, tetapi bagi saya pemergiannya suatu bebanan terpikul seolah-olah memikul batu besar dibahu yang tidak berkemampuan.
Saya memerhati dari gerak-gerinya, beliau cukup berkeyakinan membuktikan kewibawaan, ketokohan, kepimpinan dan kepakaran dalam menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan semasa berkhidmat. Beliau bersedia menyediakan perancangan untuk memenuhi agenda dalam kehidupan baru. Inilah peluangnya untuk menghabiskan masa bersama keluarga dalam suasana yang tenang, mesra dan tidak dihambat oleh kesibukan mengejar rutin kerja harian yang tidak pernah reda.
Inilah juga masa untuk memenuhi tuntutan hobinya yang selama ini tidak pernah dapat ditunaikan. Bagi yang memilih untuk beristirehat dan menggunakan masa bersama keluarga dan sanak saudara. Saya ucapkan syabas kepada Ustaz Haji Ismail Yusof semoga berbahagia dengan kerjaya baru, harap-harap meneruskan saki-baki usia yang ada di medan dakwah. Bagi setengah isteri, persaraan suami adalah peluang untuk bersama dianggap sama manisnya dengan waktu ketika mula mendirikan rumahtangga.
Walau apa pun bidang yang dipilih, saya berharap Ustaz Haji Ismail Yusof perlu menjaga kesihatan dengan baik dan saya mendoakan kesejahteraan yang berganda. Walaupun kita akan kehilangan mantan KJ JAPIM yang pernah bersama membina dan menggerakkan jabatan ini, saya percaya kita tidak akan kehilangan sahabat. Kita akan terus bersua dan meneruskan hubungan silaturrahim. Kebanyakan daripada kita, akan terus berinteraksi, bertukar fikiran atau sekurang-kurangnya berbalas cerita-cerita menarik apabila berjumpa di majlis-majlis sosial.
Saya berkata demikian berdasarkan pengalaman sahabat-sahabat yang telah bersara, mereka ada perancangan sendiri. Bagi saya, jika seseorang itu berstatus ustaz ataupun ustazah tidak ada azam untuk menyampaikan mutiara ilmu di masjid, surau atau di mana-mana merupakan ketidak wajarannya. Kita perlu berjuang. Berjuang atas nama Islam kerana umat Islam hari ini seumpama buih, tidak bermaya dan tidak berkualiti. Walaupun ada di kalangan sahabat yang bersara, berpindah majikan atau menjadi majikan. Ada pula yang lebih selesa "to mend and make amendment'. Oleh itu, jadikan persaraan sebagai persaraan kreatif yang memberi kepuasan serta faedah kepada diri, masyarakat dan negara.
Persaraan merupakan satu kewajipan, begitu juga kematian itu merupakan satu kewajipan bagi kita umat Islam. Kita kena mempercayai bahawa kematian itu merupakan sebagai kewajipan. Apabila sampai masanya persaraan akan tiba dalam kehidupan seseorang yang berkhidmat sama ada dalam perkhidmatan bersama kerajaan ataupun swasta.
Dalam majlis persaraan inilah juga merupakan kenang-kenangan, memperingati dan disingkap kembali tentang kebaikan, sumbangan dan semangat yang ditunjukkan. Kebiasaannya dalam majlis persaraan akan juga akan disebut dengan perkara-perkara kebaikan, dia seorang yang bekerja dengan baik, dia seorang yang memenuhi waktu dalam pekerjaannya, selalu mengambil berat dengan kebajikan staf dan disukai oleh semua orang sama ada kawan atau lawan.
Begitulah juga dengan kematian ini, setiap kita akan memperhitungkan amalan kita. Apabila seseorang itu mati, kalau dia melakukan amalan yang baik dan banyak menabur bakti kepada masyarakat maka orang akan menyebut jasa bakti yang telah ditaburkan oleh beliau. Bagitulah juga dengan persaraan, orang akan menyebut kebaikan yang telah dilakukan satu persatu dan merasakan pemergiannya suatu kehilangan. Itulah sebenarnya kehidupan dalam dunia ini, sepertimana persaraan itu merupakan kewajipan kepada semua, kematian juga merupakan kewajipan yang pasti akan ditempohi oleh semua yang bergelar insan. Setiap dari kita tidak dapat lari daripada kematian dan kematian akan datang menjemput kita.
Bagi saya, pemergian Ustaz Haji Ismail Yusof dari dunia pendidikan secara rasminya seumpama terlalu sukar untuk mencari ganti. Terima kasih saya bagi pihak Biro Agama, Kerohanian dan Moral di samping sumbangan besar terhadap medan dakwah di Balai Islam al-Muttaqin, IPGM Kampus Dato' Razali Ismail,Kuala Terengganu. Sesuatu yang sukar dicari ganti sekalipun sudah ada penggantinya. Terus terang saya unggapkan secara analogi dan globalisasinya, Ustaz Haji Ismail Yusof telah berjaya memberi sumbangan besar dalam dunia pendidikan dan dakwah khususnya dalam usaha melahirkan generasi al-Qur'an yang unik.
Sewaktu majlis persaraan yang diadakan di Hotel yang berprestej di sebuah perkampungan nelayan baru-baru ini, Ketua Unit Praktikum, Ustaz Sabawi Awang berbisik ditelinga nipis saya, katanya Ustaz Haji Ismail Yusof mengakhiri kerjayanya dengan surat layan G8. Saya hanya tersenyum kerana perkara itu adalah asam garam dalam kehidupan dan perjuangan. Sewaktu Ustaz Haji Ismail Yusof berada di IPG Kampus Ipoh (dulu Hulu Kinta) pun berhadapan dengan masalah yang lebih kritikal, semuanya ada dalam maklumat penulis ini tetapi buat-buat tak tahu sahaja. Perkara seumpama itu tiada masalah, ia tidak menjadi kudis buta jika keikhlasan itu diutamakan. Saya pernah berkata kepada isteri kesayangan hamba, jika berlaku apa-apa setelah usia 40 tahun, kita jangan takut untuk mendirikan rumah ditepian pantai mahupun berhampiran dengan tiupan angin Kapalterbang. Perlu sabar dan tawakal. Itu pesan saya kepada isteri tercinta. Islam perlu dijaga dan ditegakkan.
Selamat bersara Ustaz Haji Ismail Yusof, sekalipun persaraan itu diumpamakan terlalu malu kepada ayam pencen, akhirnya ustaz mengambil jalan berpencen awal dari sepatutnya adalah diharapkan tidak berpencen dari kerja-kerja Islam......Insya Allah. Maaf, coleteh ini dalam keadaan yang tergesa-gesa kerana masa tidak mengizinkan untuk memanjangkan kalam bicara.

1 comments:

  1. semoga Ust Ismail terus diberikan kekeuatan utk trs berjuang dlm prjuanagn ISLAM..amin.. (^_^)

    ReplyDelete

Pengikut