Jam 3.45 petang tadi (17 Disember 2009) Tuan Haji Ismail Yusof, mantan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (JAPIM) mengetip kad perakam waktu yang terakhir diiringi Pengarah Institut Pendidikan Guru, Kampus Dato' Razali Ismail, Kuala Terengganu, Encik Muhammad Ngah, Ketua Jabatan JAPIM, Ustaz Haji Salleh Jusoh @ Mamat, Ketua Jabatan Bahasa-Bahasa, Ketua Jabatan Pendidikan Jasmani, rakan-rakan ketua unit dan pensyarah-pensyarah JAPIM di samping staf-staf akademik dan non akademik.
Ketipan yang terakhir itu menandakan JAPIM mengesahkan bahawa Tuan Haji Ismail Yusof pergi dan tak akan kembali lagi sebagai warga JAPIM. Tanda rasminya persaraan beliau dari tugas-tugas rasminya. Saya yakin dan percaya, beberapa hari ini beliau akan berehat seketika dan menjenguk jendelanya menghala keluar memerhatikan ayam-ayam pencennya di dalam rebannya.
Pemergiannya di dalam dunia pendidikan cukup sedih untuk digambarkan kerana bagi saya beliau adalah sahabat sejati, tempat dirujuk jika sesuatu perkara tidak pasti. Apatah lagi, dirinya insan yang berilmu. Saya kehilangan sahabat sewaktu tazkirah zohor dan kuliah maghrib di Balai Islam al-Muttaqin. Apa pun, saya mengucapkan selamat bersara dan membuka gelanggang baru tanpa rasa takut dan gerun terhadap G8. Selamat tinggal dan selalulah membuka blog ini untuk menatapi sesuatu isu.
Pemergian Tuan Haji Ismail Yusof ke dunia persaraan menyebabkan kehilangan. Selepas beliau, JAPIM khabarnya dari sumber yang sohih, kehilangan pula wanita besi JAPIM, Ustazah Rozlina Abd. Aziz yang akan bertukar ke Jabatan Teknologi Pendidikan IPGMKDRI. Perpindahannya sekalipun tidak jauh tetapi JAPIM kehilangan seorang ustazah yang berpengalaman. Saya menerima maklumat ini antara Yes atau No tetapi kemasukan 2 ustaz baru dan 2 ustaz lama yang pelbagai latar belakang dan fikrah, memungkinkan kebenarannya. Saya antara insan awal yang mengutuskan salam tahniah kepada ustazah Rozlina di samping cuba mengusik mindanya. Apa yang pasti, ustazah Rozlina kehilangan Hajjah Salma sebagai tempat bermanjanya setiap hari. Apa yang didoakan oleh Hajjah Salma menyebabkan member rapatnya berhijrah, saya akan menunggu kepulangannya dari bumi Mekah al-Mukarramah.
Begitulah adat di dalam dunia, bertemu kemudian berpisah. Perpisahan adalah sesuatu yang lumrah dalam hidup. Semoga Ustaz Haji Ismail Yusof bahagia dengan dunia barunya, manakala Ustazah Rozlina Abd.Aziz, saya merelakan pemergian itu demi sebuah perjuangan yang belum berakhir. Mudah-mudahan bahagia yang tidak terperi di Jabatan baru kerana tenaga diperlukan maka curahkanlah sebaik mungkin semoga ceria seadanya. Selamat tinggal, selamat jalan ustaz dan ustazah semoga azam baru di tahun baru hijrah. Diharapkan sahabat-sahabat yang lain, istiqamah di JAPIM IPGMKDRI sekalipun ada ingin bertiup, ada insan yang akan meninggalkan JAPIM...........tunggu dan lihat, ia mungkin ada benarnya.

0 comments:

Post a Comment

Pengikut