Menurut kaedah pendidikan Imam Ghazali, untuk mendidik pelajar-pelajarnya supaya bersifat pemurah, guru-guru hendaklah sentiasa melatih mereka bersedekah walaupun lima sen setiap hari. Apabila saban hari dilatih bersedekah, lama kelamaan akan menjadi suatu perkara biasa kepada mereka. Hinggalah ke satu peringkat mereka akan menjadi seorang yang pemurah tanpa dipaksa-paksa atau disuruh.




Jika guru-guru hendak menggalakkan pelajar-pelajarnya bersembahyang berjemaah pula, pada peringkat permulaan guru-guru hendaklah ketatkan disiplin supaya mereka bersembahyang berjemaah setiap waktu. Insya Allah lama kelamaan, pelajar-pelajar itu akan sentiasa istiqamah berjemaah. Begitu jugalah halnya dengan perkara-perkara yang lain. Guru-guru hendaklah latihkan pelajar-pelajarnya perkara-perkara yang baik sampai menjadi kebiasaan mereka.



Dalam Ihya Ulumiddin, Imam Ghazali mengatakan bahawa kuda asalnya binatang yang liar, tidak berakal dan tidak terima tarbiah. Kalau kita bukan ahli kuda atau pakar dengan perangai kuda, sudah tentulah kita tidak berjaya menjinakkan kuda itu.



Begitu jugalah dalam mendidik pelajar-pelajar, baik di sekolah mahupun di Institut Pendidikan Guru, kalau guru-guru tidak berjaya mendidik pelajar-pelajarnya ke arah kebaikan, kemungkinan besar guru-guru masih tidak dapat mendidik diri sendiri, sebab itulah ajarannya susah untuk dihayati oleh pelajar-pelajar. Samalah seperti kata pepatah Melayu: "Tok guru kencing berdiri anak murid kencing berlari." Atau seperti "Ketam menyuruh anak berjalan betul" Kalau ibu ketam itu sendiri sudah tidak betul jalannya, macamana anaknya boleh berjalan dengan betul.
Oleh yang demikian, jika pelajar-pelajar tidak berminat hendak melakukan segala suruhan dalam ajaran Islam, guru-gurulah yang kena tingkatkan mujahadah. Paksa-paksakan hati menyalahklan diri sendiri dengan mengatakan: "Aku yang bersalah dan cuai, aku yang jahil, aku yang bodoh, aku yang banyak dosa dan sebagainya. Patutlah pelajar-pelajar tidak mahu ikut cakap aku, sebab aku sendiri tidak berbuat apa yang aku cakapkan."
Firman Allah yang bermaksud:
"Adakah kamu menyuruh manusia berbuat baik sedangkan kamu lupakan diri kamu? Sedangkan kamu membawa kitab, Apakah kamu tidak berfikir?"
(Surah al-Baqarah : 44)
Marilah kita sama-sama berfikir dan merenung suasana ini.

0 comments:

Post a Comment

Pengikut