Umat Islam kini menghadapi suatu bentuk cabaran global yang datang silih berganti daripada pelbagai sudut. Dunia Islam dicabar dari pelbagai aspek yang menjurus pada cabaran akidah, ideologi, kebudayaan, sosial, alam siber, keselamatan dan ketenteraan dan tidak kurang juga dari segi ekonomi.
Kita dapat lihat penguasaan Barat di dalam politik, ekonomi dan sosial. Kelemahan yang ketara adalah disebabkan umat Islam tidak bersatu di dalam menangani masalah yang dilanda secara menyeluruh dan musuh Islam dengan mudah dapat menyerang kerapuhan benteng pertahanan Islam dengan mudah. Kita dapat lihat di serata dunia, umat Islam ditindas dengan zalimnya tanpa belas kesian dari musuh Islam yang senantiasa mencari jalan untuk menghapuskan kekuatan Islam untuk terus menapak di bumi Allah ini.
Melaksanakan sistem muamalat Islam adalah salah satu agenda yang perlu dilakukan bersama oleh seluruh warga mukmin. Masyarakat Islam perlu difahamkan bahawa sistem muamalat Islam adalah perkara yang mempunyai kaitan rapat dengan aqidah.
Firman Allah (bermaksud):
"Wahai orang-orang yang beriman !
Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah
(jangan menuntut lagi)
saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu,
jika benar kamu orang-orang yang beriman."
(Surah al-Baqarah:278)
Justeru itu, keredhaanNya bergantung kepada sejauhmana masyarakat Islam menerima manhaj atau sistem Allah dalam semua aktiviti kehidupan. Tidak menegakkan sistem Allah dalam semua aktiviti kehidupan. Tidak menegakkan sistem Allah di dalam alam kehidupan dan realitinya merupakan suatu malapetaka yang menimpa umat Islam di serata dunia. Allah memberi amaran melalui firman yang antaranya bermaksud:
"Dan kalau kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka,
nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta
segala yang ada padanya !"
(Surah al-Mu'minun :71)
Pendidikan Fiqh Muamalat mampu mengatur urusan kehidupan sesama manusia bagi melahirkan masyarakat yang harmoni dan mendapat keredhaan Allah. Ini amat penting bagi menjamin sistem keadilan dalam masyarakat.
Pendidikan Fiqh Muamalat ini adalah bersumberkan kepada al-Qur'an dan al-Hadith Nabi SAW dan telah diamalkan serta dikuatkuasakan oleh kerajaan-kerajaan Islam yang terdahulu. Semasa pemerintahan Saidina Umar Ibnu Khattab, beliau pernah mengarahkan para peniaga pasar-pasar supaya mempelajari ilmu fiqh muamalat terlebih dahulu sebelum menjalankan perniagaan.
Mu'amalat dalam bahasa Arab merupakan kata jama' dari "Mu'amalah" yang bermaksud tindak tanduk di antara sesama manusia. Sementara Mu'amalat menurut istilah ulama' fiqh pula digunakan ke atas "hukum-hukum syara' yang mengatur tindak tanduk manusia di dunia." Sama ada berkaitan dengan harta atau wanita sebagaimana yang dikatakan oleh Ibn Abidin seorang tokoh ulama' mazhab Hanafi bahawa "Mu'amalat itu ada lima jenis iaitu pertukaran harta benda, munakahat, mukhasamat (perbalahan), amanah dan harta pesaka.
Sebahagian ulama' seperti mazhab Syafie mengkhususkan muamalat kepada hukum-hukum yang berkaitan dengan mal (harta) sahaja. Mereka membahagikan Fiqh Islam kepada ibadat, mu'amalat, munakahat (Awwal Syakhsiyyah) dan jinayat atau uqubat (keseksaan). Maka muamalat adalah khusus dengan tindakan yang berkaitan dengan harta sahaja. Berikutan dari itulah, Prof. Ali Fikri mentakrifkan muamalat sebagai "satu ilmu yang mengatur pertukaran harta dan manfaat sesama manusia dengan perantaraan akad-akad dan tanggungjawab".
Bersambung lagi, Insya Allah......................>

0 comments:

Post a Comment

Pengikut