ALHAMDULILLAH ! Segala puji dan puja ke hadrat Allah s.w.t. Tuhan yang telah memberi sedikit kekuatan kepada diri saya untuk mencatatkan sesuatu di blog ini setelah sekian lama tertangguh kerana kesibukan yang tidak dapat dielakkan.
Blog saya ini belum dikemaskini sepenuhnya. Insya Allah, saya akan cuba memantapkan blog ini dengan pelbagai sajian yang bermanfaat bagi mereka yang menatapinya. Niat saya bukan ingin mengajar ...... tetapi lebih kepada ingin berkongsi sedikit ilmu pengetahuan, pengamalan, rasa hati, luahan perasaan dan sebagainya.
Sepanjang saya berada di IPGM Kampus Dato' Razali Ismail, Kuala Terengganu dan di amanahkan sebagai Penasihat Biro Agama, Kerohanian dan Moral di samping Penyelaras Balai Islam al-Muttaqin menyebabkan diri ini sepanjang masa berdamping dengan pelajar-pelajar. Kadangkala perbincangan, mesyuarat, kuliah dan pelbagai sehingga lewat malam dalam usaha menggerakkan tugasan dakwah ini.
Justeru itu, pelbagai kritikan dilontarkan namun pensyarah dan pelajar masih gagal memenuhi Balai Islam berkenaan. Ada mulut yang laju tetapi apabila diberi amanah, tidak pula berperanan. Hati kecil ini kadang-kala merenung jauh telatah dan lakonan yang pelbagai tetapi dalam kerja-kerja dakwah, saya teringat perjalanan Nabi Muhammad s.a.w. yang berdepan dengan pelbagai ujian. Dari sinilah, sikap saya banyak bersabar kerana sikap dan taqwa manusia itu berbeza.
Sebenarnya, bila hati kita baik, terlalu banyak kebaikan yang akan kita dapat dalam kehidupan ini. Allah s.w.t. juga ada menyatakan dalam al-Qur'an, andai kata hati kita baik maka banyaklah kebaikan yang akan kita dapat.
Dan seandainya hati kita busuk, rosak dan jahat maka akan terhijablah kita untuk mendapat banyak kebaikan. Bahkan terlalu banyak pula kejahatan yang ada kita terima. Berikutan itulah, saya bersama Ahli Jawatankuasa Biro dan Balai sentiasa positif sekalipun kritikan yang dilontarkan kadang-kadang seumpama pelajar-pelajar pra sekolah.
Saya petik kenyataan Allah s.w.t. dalam firmanNya di dalam surah asy-Syam :9-10 yang bermaksud: "Sesungguhnya beruntunglah (berjayalah) sesiapa yang bersih (baik) hatinya. Dan sesungguhnya malanglah (rugilah) sesiapa yang kotor (jahat) hatinya."
Kepada Ahli Jawatankuasa Biro dan Balai, saya mengucapkan berbanyak-banyak ribuan terima kasih di atas sokongan anda dan sanggup bertungkus-lumus bersama-sama. Sekalipun ada lajnah yang berjaya dalam kerja-kerja dakwahnya namun tahun 2009 adalah era kecemerlangan yang perlu ditingkatkan lagi. Semoga azam baru tahun 2010 akan melonjakkan lagi kerja-kerja jihad secara terancang dan strategis.
Saya cuba berperang dalam pemikiran ini, buat yang terbaik, ganjaran pahala Allah yang tentukan. Bila hati kita baik, pasti fikiran kita akan sentiasa baik. Kita akan fikir yang baik-baik...."think positive". Walaupun suatu peristiwa yang nampaknya tak baik, tetapi bila kita lihat dengan hati yang baik. Pasti kita dapat fikirkan natijah yang baik. Kalau kita mampu kalahkan mazmumah kita dengan cuba berfikiran baik, Insya Allah Biro dan Balai akan dikerumuni pensyarah dan guru-guru pelatih seumpama semut mengerumuni gula yang manis.
Jadi, apa-apa dalam hidup kita, andai hati kita baik maka kita akan melihatnya dengan fikiran yang baik. Hati kita akan selalu memujuk diri kita dengan mencetuskan dalam fikiran "pasti ada hikmah baik di sebalik semua ini !".
Saya pernah terbaca statistik kesihatan yang dikeluarkan oleh WHO (World Health Organisasion), rupa-rupanya; bilangan orang yang betul-betul sihat di dunia ini sekitar 10% daripada jumlah penduduk dunia. Bilangan orang yang betul-betul tidak sihat di dunia ini, iaitu mereka yang mengidap penyakit kronik, tunggu masa untuk mati sekitar 15% daripada jumlah penduduk dunia. Selebihnya, sekitar 75% lagi ialah orang-orang yang separa sihat. Siapa yang separa sihat ? Mereka adalah; ada sakit kencing manis, tetapi tidak ada sakit darah tinggi. Ada sakit darah tinggi, tetapi tidak ada kencing manis. Ada sakit jantung tetapi tidak ada sakit lelah. Ada sakit lelah, tetapi tidak ada sakit jantung. Ada yang sakit buasir tetapi tidak ada sakit gaut. Oleh itu, tidak peleklah jika ada orang yang sakitnya adalah suka kritik tetapi apabila diberi amanah, dia abaikan.... Begitulah biasanya.......
Namun, bagi kita yang ada sikap istiqamah terhadap perjuangan, penyakit-penyakit tadi tidak menghalang kita untuk berjalan ke masjid, balai Islam, surau, ke majlis ilmu bagi melaksanakan tanggungjawab terhadap Allah.
Kenapa ? Kerana bila hati kita baik, secara langsung ianya memberi kekuatan kepada tubuh-badan kita untuk bergerak kepada kebaikan. Inilah juga yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. Walaupun tidurnya hanya dua jam sehari .... makan bila lapar dan berhenti sebelum kenyang. Tetapi kesihatan tubuh-badan baginda sungguh hebat. Rasulullah s.a.w. pernah dicabar oleh jaguh gusti Yahudi untuk berlawan. Baginda menerima cabaran tersebut dan bila tiba hari perlawanan, baginda dapat mengalahkan jaguh gusti tersebut.
Akhirnya, jaguh gusti Yahudi tadi memeluk Islam di tangan baginda Rasulullah s.a.w. Benarlah ! Bila hati kita baik, pasti fizikal kita akan baik. Apabila semua jadi baik, kita pasti menang dalam perjuangan. Harapan saya, agar hubungan kita dengan Allah bertambah baik.
Bersambung lagi, Insya Allah. Pagi sudah menjelang Subuh............

1 comments:

  1. ganahhhh blog demo.. Tahniah n TQ 4 sharing informations.

    ReplyDelete

Pengikut