WANITA : PERANANNYA DALAM KEBANGKITAN ISLAM.
Di antara tanda-tanda hampir turunnya azab Allah ke atas sesuatu kaum atau sesuatu umat ialah merosotnya keadaan kaum wanita mereka dari pelbagai segi, di dalam aspek aqidah, amal ibadah, akhlak dan di dalam hubungan dengan hukum-hukum Allah dan Sunnah Rasulnya. Mereka tidak mengabdikan diri kepada Allah, mereka mengabdikan diri kepada syahwat. Di akhir kurun ke 14 Hijrah ini wanita-wanita disebahagian dunia Islam sedang mengalami kemerosotan seumpama ini serentak dengan kemerosotan kaum lelaki juga. Kemerosotan ini berlaku akibat pengaruh-pengaruh jahat di kalangan umat Islam. Pengaruh ini masuk sesudah umat Islam mengalami kelemahan dari dalam kerana kurang perhubungan mereka dengan Allah Taala dan semakin keras dan gelapnya hati mereka (hati yang berpenyakit).

Menurut propaganda pejuang 'pembebasan wanita' (wanita sekular dan wanita kafir), wanita mempunyai persamaan dengan lelaki dalam semua hal. Oleh sebab itu wanita bebas untuk melakukan kerja-kerja yang dibuat oleh lelaki dan ia mesti keluar rumah dan bergerak seperti lelaki. Menurut ajaran Islam, sebetulnya wanita tidak mempunyai persamaan dengan lelaki dalam semua hal. Allah telah menjadikan mereka berpasangan yang satu menjadi regu pada yang lain, sebagaimana ia menjadikan makhluk yang lain berpasangan. Tangan kanan misalnya, menjadi regu pada tangan kiri. Kedua-duanya sama dari satu segi, iaitu sebagai tangan tetapi berbeza dari segi yang lain pula, iaitu dalam bentuk, kedudukan dan peranan. Orang yang mengatakan tangan kanan sama dengan tangan kiri dalam semua hal adalah mengabui dirinya sendiri (orang-orang begini adalah orang yang bodoh).

Demikianlah, wanita sama dengan lelaki sebagai manusia, sama-sama pula menanggung taklif syara' apabila sudah akil baligh, sama-sama diberi hak asasi manusia dan sama-sama diberi peluang untuk beriman dan beramal soleh. Tetapi dari segi bentuk badan dan beberapa sifat jasmani, wanita diberi kelengkapan untuk menjadi ibu sementara lelaki menjadi bapa. Lelaki adalah ibarat langit, wanita buminya. lelaki ibarat petani, wanita ladangnya.

Pada umumnya wanita mengalami keuzuran sebahagian yang besar dari hidupnya, keuzuran bulanan, keuzuran selama mengandung dan keuzuran sesudah bersalin. Di dalam masa uzurnya itu ia mudah tersinggung, mudah merajuk dan kurang menggunakan pertimbangan akal. Sementara itu perasaannya lebih halus dari lelaki, dan berkecenderungan untuk menerima pimpinan dari lelaki kerana kekurangannya yang semulajadi itu, wanita dikecualikan daripada beberapa kewajipan keagamaan yang dipikulkan kepada lelaki.

Wanita dikecualikan dari melakukan kewajipan diluar rumah, misalnya ia tidak diwajibkan bersembahyang Jumaat. Ia tidak diwajibkan pergi berperang sabil, kecuali dalam keadaan yang benar-benar darurat. Ia dilarang turut serta dalam upacara sembahyang jenazah.

Wanita Islam tidak boleh menyerupai lelaki, ia akan dilaknat oleh Allah dan RasulNya, sebagaimana juga lelaki yang menyerupai perempuan adalah dilaknat oleh Allah dan RasulNya. Wanita Islam tidak boleh memainkan peranan lelaki dan mengambil hak-hak yang khusus bagi lelaki. Peranan sebagai khalifah, raja, hakim atau kadhi, mu'adzim (tukang azan), imam perang dan lain-lain peranan yang khusus bagi lelaki, wanita tidak berhak merampasnya.

Oleh itu, apakah peranan wanita dan lapangan kegiatannya? Peranan wanita adalah sebagai isteri, suri rumahtangga atau wazir kepada suaminya di dalam kerajaan kecil mereka, iaitu keluarga dan sebagai ibu, pengasuh dan pendidik bagi anak-anaknya. Ia tinggal di dalam rumah dan tiadalah diluar rumah, melainkan sesuatu hajat yang diluluskan oleh syara' dan setelah mendapat izin suaminya atau ibubapanya. Peranan lelaki adalah sebagai suami, khalifah atau ketua dalam rumahtangga, hakim dan mu'adib (pengajar adab) bagi isteri dan anak-anaknya.

Kepada wanita yang beriman, rumahnya bukanlah penjara baginya, tetapi tempat ia menumpang berteduh bersama-sama suaminya dan anak pinaknya dari hujan dan panas dari gangguan manusia dan binatang. Disitulah ia tinggal memelihara kehormatan dirinya, memelihara hartabenda suaminya dan menjaga anak-anaknya.
Bersambung lagi............Insya Allah.

0 comments:

Post a Comment

Pengikut