KISAH NABI NUH a.s :PERBANDINGAN DI ANTARA AL-QUR'AN DAN TAURAT
Nabi Nuh ialah seorang nabi dan rasul yang ketiga diutuskan Allah kepermukaan bumi ini selepas Nabi Adam dan Idris a.s ada satu pendapat lain yang mengatakan nabi Nuh ialah Nabi yang keempat yang diutuskan Allah iaitu dengan menambah nabi Sith di antara Adam dan Idris. Tetapi ada pula pendapat yang mengatakan Adam, Sith dan Idris bukanlah rasul Allah dan orang pertama menjadi rasul ialah Nuh a.s, pendapat ini berdasarkan hadith syafaat dan Abi Hurairah yang bermaksud:

"Wahai Nuh Engkaulah rasul pertama diutuskan ke bumi".

Bagi ulama' yang berpendapat Adam dan Idris juga menjadi Rasul mereka mentakwil dengan katanya: "Nuh adalah rasul pertama selepas berlaku taufan" kerana mereka menganggap selepas berlaku taufan bagaikan dunia yang baru.

Jarak masa di antara Nabi Adam dan Nabi Nuh, mengikut keterangan kitab "Izharul Hak" karangan Afandi al-Hindi yang dipetik dari Taurat, Ibriah dan Saamiriah menyatakan 1056 tahun perantaraan masa dari kebangkitan Adam dan keperanakan Nuh a.s, 126 tahun jarak antara wafat Adam dan lahir Nuh a.s.

KISAH NABI NUH:PERBANDINGAN DALAM AL-QUR'AN DAN TAURAT

Terdapat banyak perbezaan mengenai kisah-kisah nabi Nuh a.s yang tercatat dalam kitab suci al-Qur'an dan Taurat, kisah Nabi Nuh yang masyhur ialah kisah taufan yang menimpa kaumnya sebagai balasan atas kekufuran mereka kepada Allah.


UMUR NABI NUH a.s

Mengikut kenyataan di dalam al-Qur'an al-Karim, Nabi Nuh tinggal bersama kaumnya selama 950 tahun, ini bererti umur Nabi Nuh ialah 950 tahun. Ia berbeza dengan apa yang tercatat dalam kitab Taurah yang menegaskan bahawa umur Nabi Nuh ialah 930 tahun sahaja.


WAKTU BANJIR BERLAKU DAN JANGKA MASANYA

Dalam kitab Taurat ada menegaskan bahawa kejadian taufan berlaku pada tahun 600 bulan yang kedua dan hari yang ketujuh belas daripada tarikh hidup Nabi Nuh a.s, manakala hujan turunnya dengan tidak berhenti-henti selama 40 hari dan malam. Kenyataan ini ada tercatat dalam Taurat yang maksudnya:

"Bila Nabi Nuh berusia 600 tahun, pada hari ketujuh belas bulan kedua semua mata air bagaikan lautan yang besar di bawah tanah dan hujan mencurah kebumi selama 40 hari
dan 40 malam."

Diceritakan bahawa jangka masa berlakunya bala taufan itu selama 40 hari dan dikatakan juga bahawa kenaikan air kira-kira 15 hasta tingginya di atas segala kemuncak gunung dan berpanjangan air membanjiri bumi selama 150 hari setelah Nabi Nuh berusia 601 tahun barulah air surut seperti asalnya. Ini ada terdapat dalam Taurat yang bermaksud:

"Bila Nuh berusia 601 tahun, pada hari pertama bulan pertama air telah surut sama sekali, Nuh membuka penutup bahtera dan melihat di sekelilingnya dan mendapat tanah sedang mengering."

Di dalam al-Qur'an, ia tidak menyebut waktu dan masa banjir itu berlaku dan tempoh masanya. Ia hanya menyatakan banjir itu berlaku pada masa Nabi Nuh sebagai bala ke atas kaumnya.
BERSAMBUNG KEMBALI .......Insya Allah dalam aspek 'bahtera Nuh'.

0 comments:

Post a Comment

Pengikut