Selamat tahun baru, azam baru dan tekad baru bagi tahun 1431 Hijrah. Marilah kita sambut tahun baru kita dengan azam dan tekad baru dengan menambahkan usaha untuk mencapai target perjuangan kita selama ini iaitu:
Hayatun tayibah warabbun ghafur
Qaryatun tayibah warabbun ghafur dan
Baldatun tayibah warabbun ghafur
Pertamanya, ciri-ciri Hayatun Tayibah, iaitu hidup yang baik, sekurang-kurangnya dalam hidup kita, kita miliki seorang isteri yang solehah, sebuah kenderaan yang selesa dan sebuah rumah yang luas yang dapat menampung anak-anak dan isteri dengan sempurna. Hidup kita dalam keadaan beriman kepada Allah dan kepada adanya hari Akhirat, senantiasa mendirikan sembahyang, bekerja keras sehingga boleh mengeluarkan zakat dan kita tidak takut kecuali kepada Allah Subhanahu Wataala sahaja.
Keduanya, ciri-ciri Qaryatun Tayibah: Di mana kampung kita mempunyai penduduk yang cintakan masjid, surau, mereka berulang alik ke masjid, surau untuk bersembahyang untuk menambahkan ilmu pengetahuan agama, mereka mampu mendirikan sebuah masjid, yang berfungsi bukan sahaja untuk beribadah, tetapi juga untuk mengadakan mesyuarat, untuk menabur ilmu pengetahuan, untuk menyelesaikan masalah berbangkit, untuk menerima rombongan tetamu dari dalam dan luar, untuk sembahyang jenazah, untuk menjalankan majlis kenduri perkahwinan dan pelbagai yang memberi kebaikan kepada semua.
Sempena dengan tahun baru hijrah ini, marilah kita sama-sama memenuhi tuntutan firman Allah SWT "Fastabiqul Khairat ......Fasabiqu ila maghfiratin min Rabbikum ....., yang maksudnya: Berlumba-lumbalah kamu dalam melakukan kebajikan dan berlumba-lumba-lumbalah kamu dalam mencari keampunan dari Tuhan kamu .....Semua ini adalah merupakan ciri-ciri kampung yang baik dan diredhai oleh Allah Subhanahu Wataala.
Ketiganya, negara yang aman damai dan diredhai Allah: Ciri-cirinya ialah Perlembagaan Negara itu hendaklah berdasarkan al-Qur'an dan al-Hadith. Perlembagaan Negara Islam itu sebenarnya sudah lama digubal oleh Alim Ulama' Malaysia, tetapi sampai sekarang perlembagaan itu nampaknya tidak diambil peduli oleh pemimpin-pemimpin negara kita.
Sesebuah negara itu tidak boleh dinamakan Negara Islam, sekiranya perlembagaan tidak berteraskan al-Qur'an dan al-Hadith. Sebuah negara tidak boleh dinamakan Negara Islam, jika rakyat tidak faham Islam dan tidak berminat untuk mempelajari Islam dengan mendalam.
Saya menaruh keyakinan yang tinggi bahawa Islam akan muncul, Perlembagaan Islam akan diketengahkan untuk jadi Perlembagaan Negara kita suatu hari nanti. Islam pasti muncul di negara kita, seperti munculnya cahaya matahari di waktu pagi. Tidak ada siapa yang boleh menutup cahaya Islam.
Seperti kata pendita Islam, matahari tetap matahari, walaupun ada orang yang tak pernah melihat matahari. Sebagaimana juga madu itu tetap madu walaupun ada lidah yang tak pernah mengecap madu. Begitulah tentang kemunculan Islam, ia tetap Islam walaupun ramai musuh-musuhnya yang tak mengakui Islam.
Dalam tahun 1957, dua, tiga juta manusia menjadi syuhadak di Afghanistan, mereka berani berkorban kerana Islam untuk menegakkan kalimah Syahadah Lailaha illa Llah Muhammadun Rasulullah.

1 comments:

  1. Selamat Tahun Baru...

    Ummu Fida' doakan, tahun baru ini menjadi tahun yang lebih baik, murah rezki, lebih sholeh daripada tahun-tahun sebelumnya untuk Ustaz Rabbani dan keluarga.

    Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar ! Semoga Daulah dan kehidupan Islam yang sebenarnya dalam negara ini.. mampu tercapai, dan kita dapat saksikan serta rasainya di saat hayat kita masih ada...aamiiinn....

    ReplyDelete

Pengikut