الحمد الله نحمده ونستعينه ونستغفره ونعوذ با لله من شرور انفسنا ومن سيئات اعمالنا من يهده الله فلا مضل له ومن يضلله فلا هدى له
والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى اله وصحبه وسلم تسليما كثيرا
أما بعد فإن اصدق الحديث كتاب الله وخير الهدى هدى محمد صلى الله عليه وسلم وشر الامور محدثاتها وكل محدثت بدعة وكل بدعة ضلالة وكل ضلالة فى النار
وبالسند المتصل الى الامام الحافظ المحدث البخارى رحمه الله تعالى انه قال : حدثنا مسدد حدثنا عبيد الله بن موسى عن الاعمش عن شقيق قال: كنت مع عبد الله وابى موسى فقال: قال النبي صلى الله عليه وسلم :ان بين يدى الساعة لأياما ينزل فيها الجهل ويرفع فيها العلم ويكثر فيها الهرج , والهرج : القتل


Maksudnya:
Telah diriwayatkan kepada kami oleh Musaddad, diriwayatkan oleh Ubaidullah bin Musa daripada A'mash daripada Syaqiq telah berkata : Aku bersama-sama Abdullah bin Mas'ud dan Abi Musa maka telah berkata Nabi s.a.w. :Sesungguhnya ada beberapa hari sebelum datangnya hari kiamat, akan turun padanya kejahilan, diangkat padanya ilmu dan banyak berlakunya 'al-haraj' dan 'al-haraj; pembunuhan.
Huraian Hadith:
Hadith di atas merupakan rentetan dari hadith sebelumnya, yang telah dihuraikan maksud dan pengertiannya dengan jelas. Hadith ini memberi gambaran yang jelas tentang tanda-tanda hampirnya berlaku kiamat. Antaranya ialah manusia menjadi jahil, diangkat padanya ilmu dan banyak berlakunya 'al-haraj'.
Hadith ini menceritakan tentang huru hara perang dan beribadat pada masa itu. Huru hara dan fitnah itu telah dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w. yang akan banyak berlaku selepas kewafatannya. Ini adalah disebabkan pada masa itu hanya sedikit sahaja orang yang memberi nasihat kepada masyarakat yang jahil di sekelilingnya. Ini adalah kerana berkurangnya orang yang berilmu dengan ilmu syara' yang mengajar, sedikitnya orang yang belajar ilmu-ilmu agama dan sedikit sahaja orang yang mendengar daripada orang alim, maka kejahilan mula menular dalam masyarakat. Kejahilan ini berlaku kerana Allah mencabut ilmu daripada hamba-hambanya. Maksud mencabut atau mengangkat ilmunya ialah dengan mematikan para alim ulama', manakala orang yang layak untuk menggantikan tempatnya tidak ada. Apabila keadaan ini berlaku, maka manusia akan mengambil fatwa daripada orang jahil sedangkan apa yang mereka fatwakan itu dalam keadaan yang tidak berpengetahuan. Maka sesatlah mereka dan akan menyesatkan orang lain. Dengan ini sebilangan kecil ulama' yang ada itu tidak dapat membendung segala huru-hara yang berleluasa di tengah-tengah masyarakat yang jahil tentang ilmu agama itu.
Ada juga yang berpendapat maksud diangkatnya ilmu itu ialah manfaat daripada ilmu pengetahuan itu akan hilang. Pada masa akhir zaman sebenarnya ilmu tidak lenyap atau hilang, bahkan semakin meluas dalam masyarakat, tetapi ilmu itu tidak dapat memberi manfaat kepada pemiliknya kerana ilmu itu tidak dihiasi dengan nilai-nilai agama. Ilmu itu tidak dapat menguasai kehidupan manusia, sehinggakan ilmu pengetahuan manjadikannya jahil sebagaimana peringatan Rasulullah s.a.w. ini yang bermaksud kebodohan yang berada dalam diri orang pandai, maka lahirlah berbagai ragam perbuatan yang negatif dan maksiat manusia yang penuh dosa dan kejahatan.
Masyarakat pada masa itu kurang mengambil berat tentang agama, mereka begitu cintakan dunia iaitu terlalu mengejar kemewahan hidup di dunia semata-mata dan lupa untuk beribadah kepada Allah s.w.t. Ini menyebabkan manusia mula hilang pertimbangan dan menyebabkan timbulnya huru-hara, fitnah dan berlakunya bunuh membunuh antara satu sama lain. Mereka tidak dapat mengatasinya kerana kejahilan yang menguasai diri mereka telah menghalang mereka untuk bersatu padu dan hidup secara bermuafakat sebagaimana yang telah diajar oleh Allah s.w.t. melalui al-Qur'an dan al-Sunnah.
Hadith ini juga menjelaskan bahawa manusia apabila berada dalam keadaan huru-hara yang besar atau peperangan ini, memang menjadi tabiat manusia suka berdalih dalam masalah beribadat dan suka menangguhkannya serta memberi alasan tidak mampu melaksanakannya. Mereka berkata akan beribadat bersungguh-sungguh apabila hilang kesusahan, kesempitan dan huru-hara tersebut, tetapi apabila hilang kesusahan dan bala itu mereka bertambah lupa lagi. Sedangkan beribadah pada masa itu besar fadhilatnya sebagaimana pengakuan dari nabi, seperti berpindah kepadaku seperti orang-orang Mekah yang berpindah tinggal bersamaku di negeri Madinah dalam masa hayatku.
Pengajaran Hadith:
Berdasarkan hadith ini, kita dapat merumuskan beberapa pengajaran iaitu:
1.Apabila hampir tibanya hari kiamat, manusia akan menjadi jahil walaupun ia seorang yang berilmu atau alim.
2.Allah mencabut ilmu dari hamba-hambanya dengan cara mematikan para ulama'.
3.Orang-orang yang jahil tentang agama akan bercakap tentang hal-hal agama dan mengeluarkan fatwanya sendiri dan menyesatkan orang ramai.
4.Kejahilan manusia menyebabkan mereka tidak dapat membuat pertimbangan antara baik dan buruk.
5.Fitnah yang berlaku merupakan punca berlakunya huru-hara, peperangan dan bunuh membunuh sesama mereka.
6.Walaupun dalam kesusahan dan kesempitan hidup akibat huru-hara yang berlaku, manusia masih lupa untuk beribadat kepada Allah.
7.Setiap kesulitan dan dugaan kita perlu bersabar dan sentiasa berdoa memohon perlindungan dari Allah.
Bertemu lagi, Insya Allah dengan hadith yang lain........

1 comments:

  1. semoga kita sentiasa bersabar dan sentiasa berdoa memohon perlindungan dari Allah dlm mnmpuhi segala kesulitan dan dugaan.. (^_^)

    ReplyDelete

Pengikut