Dalam membincangkan mengenai sistem jenayah dalam Islam, terdapat pelbagai istilah yang terlibat dalam perbincangan yang membabitkan hukum dan undang-undang. Secara asasnya dua istilah yang sering digunakan ialah "jarimah" dan "jinayah".
Secara umum, kedua-dua istilah tersebut merujuk kepada perkara-perkara yang ditegah oleh syariat ataupun kesalahan, sama ada ia melibatkan unsur moral atau fizikal, sama ada ianya adalah merupakan kesalahan terhadap badan, maruah, harta benda dan sebagainya. Istilah jarimah lebih merujuk kepada "kesalahan" secara umum dan ia merangkumi semua jenis pelanggaran hukum atau ketetapan.
Manakala "jinayah" pula lebih khusus. Jika dikaitkan dengan qisas, jenayah hudud pula ialah kesalahan-kesalahan seperti zina, murtad, mencuri, merompak, memberontak, minum arak dan qazaf. Taazir pula ialah satu lagi kategori kesalahan yang merujuk kepada kesalahan-kesalahan yang selain daripada hudud dan qisas.

JENIS-JENIS KESALAHAN:

Dalam membincangkan jenis-jenis kesalahan, ia boleh dilihat melalui dua aspek:

1. Dari aspek pembahagian hukuman.
2. Dari aspek unsur mental.

Dari aspek pembahagian hukuman, kesalahan terbahagi kepada tiga jenis: hudud, qisas & taazir. Manakala dari aspek unsur mental pula, ia boleh dibahagikan kepada kesalahan yang dilakukan dengan sengaja ('amal), separa sengaja (shibh 'amd) atau tidak sengaja (khata').

a. Kesalahan Hudud

Kesalahan hudud ialah kesalahan-kesalahan yang larangan melakukannya disebut di dalam al-Qur'an dan hadith. Hukumannya pula telah ditetapkan oleh nas sama ada al-Qur'an ataupun hadith Rasul Allah s.a.w. Terdapat tujuh kesalahan hudud ialah:

1. Berzina
2. Menuduh perempuan berzina
3. Meminum minuman keras
4. Mencuri
5. Merompak
6. Memberontak dan
7. Murtad

b. Kesalahan Qisas/Diyat

Kesalahan ini melibatkan nyawa dan tubuh badan manusia sama ada pembunuhan atau menyebabkan kecederaan. Ia boleh dibahagikan kepada beberapa kategori:

1. Membunuh dengan sengaja ('amd)
2. Membunuh separa-sengaja (syibh 'amd)
3. Mematikan secara tidak sengaja (khata')
4. Mencederakan dengan sengaja
5. Mencederakan dengan separa-sengaja

c. Kesalahan Taazir
Kesalahan-kesalahan yang selain daripada hudud atau qisas yang tidak disebut di dalam nas syarak, tetapi diberikan kuasa kepada pemerintah untuk menentukan bahawa sesuatu perbuatan itu salah dan berusaha untuk membenterasnya. Ringkasnya, pihak berkuasa boleh menggubal sebarang undang-undang yang dikira perlu demi kepentingan dan keamanan masyarakat.
Contoh: Kesalahan yang menjejaskan kepentingan awam (seperti pencemaran, kacauganggu), kesalahan mengenai perbandaran, pecah amanah, rasuah, menghasut, memfitnah. menceroboh dan sebagainya.
Perbezaan di antara hudud dan taazir:
Terdapat beberapa aspek yang membezakan di antara kedua-dua kategori kesalahan ini, di antaranya:
i. Hudud telah ditentukan oleh nas, manakala taazir bergantung kepada pihak berkuasa.
ii. Hukuman hudud mesti dihindari jika wujud syubhat pada pembuktiannya, tetapi taazir tidak. Jika wujud syubhat atau keraguan dalam kesalahan taazir, ia tetap diteruskan atau dikenakan hukuman.
iii. Hukuman hudud tidak boleh dikenakan terhadap kanak-kanak, tetapi taazir boleh.
iv. Hukuman hudud cuma boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa, tetapi hukuman kesalahan taazir boleh dilakukan oleh suami, bapa, wasi, guru dan sebagainya.
v. Syafaat dan kemaafan tidak boleh diberikan kepada pesalah hudud, tetapi terhadap pesalah taazir diharuskan.
Bersambung lagi, Insya Allah............

0 comments:

Post a Comment

Pengikut