Bidang falak dipercayai sebagai bidang sains yang tertua dan terawal dipelopori oleh umat manusia. Perkataan falak adalah perkataan Arab yang bermaksud jalan peredaran jasad-jasad samawi (langit). Ia juga dikenali sebagai astronomi. Astronomi pula berasal daripada perkataan Greek yang membawa maksud perihal bintang-bintang. Maka ilmu falak atau astronomi boleh didefinasikan sebagai satu bidang kajian bagi mengetahui kedudukan, peredaran, pergerakan, perihal serta fenomena jasad-jasad samawi seperti bintang, matahari, bulan planet, galaksi dan lain-lain diseluruh alam semesta.
Falak syarie pula merupakan sebahagian daripada bidang ilmu falak. Ia merupakan gabungan antara ilmu falak dengan hukum syariah yang berkaitan bagi ibadah-ibadah tertentu. Ia menjadi dasar penentuan ibadah seperti solat fardu, solat sunat, puasa di bulan Ramadhan, puasa-puasa sunat, zakat, ibadah haji dan sebahagiannya. Bidang ini boleh dibahagikan kepada beberapa katogeri utama iaitu penentuan waktu ibadah solat, arah kiblat, penentuan awal bulan hijrah dan penyediaan takwim hijrah.
Permulaan waktu solat fardu atau solat sunat (contohnya solat dhuha, fajar dan gerhana) ditentukan merujuk kepada kedudukan matahari relatif kepada kita. Pengetahuan berkaitan ilmu falak amat diperlukan dalam kaedah perhitungan dan penentuan ini memandangkan solat tersebut hanya sah didirikan pada tempoh tertentu.
Contohnya permulaan waktu maghrib adalah bila matahari terbenam. Fenomena matahari terbenam hanya mampu dilakukan oleh sesiapa yang berada di tepi pantai menghadap ufuk barat. Namun ia bergantung kepada keadaan cuaca kawasan tersebut. Jika ufuk barat diliputi awan tebal atau jerebu maka fenomena matahari terbenam tidak dapat diperhatikan. Apakah yang akan terjadi bagi umat Islam sekiranya tidak seorang pun antaranya yang mendalami ilmu falak? Sudah tentu mereka terpaksa menangguhkan atau melewatkan solat maghrib tersebut. Ini menjadi lebih parah sekiranya hari tersebut mereka berpuasa! Ini bermakna mereka melambatkan buka puasa sedangkan berbuka diawal waktu merupakan amalan sunat.
Perkara ini dapat di atasi sekiranya terdapat antara mereka yang mempunyai ilmu yang berkaitan dan mampu membuat penghisaban waktu matahari terbenam. Ia merupakan satu kemudahan baginya dan masyarakat di mana ia tidak perlu ke tepi pantai untuk melihat fizikal matahari ketika terbenam untuk memulakan solat maghrib atau berbuka puasa. Sebaliknya ia boleh merujuk kepada waktu hasil kiraannya yang diyakini. Begitulah kaedah dengan penetapan waktu-waktu solat yang lain.
Dalam mengerjakan ibadah solat selain mengetahui dengan yakin tentang waktu, meyakini arah kiblat juga merupakan perkara utama. Penetapan arah kiblat dapat dibuat dengan beberapa cara namun cara yang sistematik adalah dengan kaedah kiraan trigonometri sfera (matematik).
Rukun Islam seterusnya selepas ibadah solat fardu adalah puasa pada bulan Ramadhan, pembayaran zakat dan ibadat haji. Kesemuanya memerlukan pengetahuan tarikh dan juga masa tertentu untuk melaksanakannya. Puasa Ramadhan dimulai dengan penetapan tarikh awal Ramadhan dan ditamatkan dengan penetapan awal Syawal.
Penentuan awal bulan hijrah sama ada awal bulan dilakukan dengan dua kaedah iaitu secara rukyah (melihat dengan mata atau bantuan alat optik) atau berdasarkan hitungan astronomi atau hisab, tujuannya adalah untuk pembentukan sistem takwim hijrah atau kalendar Islam untuk kegunaan masyarakat Islam bagi penyempurnaan ibadah.
Dalam konteks pembayaran zakat, yang diperlukan adalah tempoh setahun (haul) mengikut kalendar Hijriah. Bagi menyempurnakan ibadat haji, diperlukan tarikh bagi hari wukuf iaitu hari ke 9 haribulan Zulhijjah, hari-hari tasyrik dan hal-hal berkaitan. Sambutan Aidil Adha atau hari raya korban adalah pada hari ke 10 Zulhijjah.
Demikianlah sama pentingnya pengetahuan tarikh dan masa untuk melaksanakan ibadat-ibadat lain termasuk sambutan beberapa peristiwa penting seperti Israk Mikraj, Nuzul al-Qur'an, Ma'al Hijrah dan sebagainya.
Ini semua memerlukan satu sistem taqwim atau kalendar yang tepat dan seragam yang dapat disediakan dengan kaedah-kaedah ilmu falak syarie. Bayangkan apa akan terjadi kepada sesebuah masyarakat Islam di Malaysia ini jika tidak ada satu keseragaman sistem taqwimnya.
Masing-masing kelompok akan mengamalkan apa yang diyakininya benar dan mengatakan sistem lain adalah salah. Ini akan mengakibatkan tiada penyeragaman dalam soal ibadah dan perayaan. Perkara ini akan memalukan umat Islam itu sendiri. Ini kerana secara tidak langsung menggambarkan bahawa umat Islam merupakan umat yang tidak mahu bersepakat dalam segala hal sehinggakan dalam soal ibadah pun tiada persepakatan. Maka ilmu falak perlu dihidup dan diketengahkan sebagai suatu fardu kifayah demi untuk menjaga maruah dan kepentingan umat Islam sejagat.

1 comments:

  1. saye sgt stuju..umat islam mmg prlu kuasai ilmu2 ni,klau kat mktb ade kos ni,mmg molekla..he3

    ReplyDelete

Pengikut