Setiap kali tibanya bulan Rejab, persoalan fadhilat, hadith dhoif, maudhu' dan aspek-aspek yang berkaitan sering kali menjadi perbincangan di kalangan umat Islam. Bulan Rejab adalah salah satu bulan dari 12 bulan dalam Islam. Rejab ertinya mulia. Ini menggambarkan bahawa bulan Rejab adalah bulan yang mulia. Bulan Rejab mengandungi pelbagai peristiwa yang bersejarah kepada umat Islam dimana berlakunya peperangan Tabuk, pembebasan al-Aqsa dari tangan tentera Salib dan juga kaitan dengan peristiwa Isra' dan Mikraj Nabi Muhammad s.a.w.
Bulan Rejab merupakan salah satu bulan dari bulan-bulan haram. Hujah yang boleh dijadikan sumber pegangan kita di dalam perkara ini adalah berasaskan kepada al-Qur'an di dalam surah at-Taubah ayat 9 yang bermaksud:
"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa."
Menurut Tafsir Jalalain yang dimaksudkan dengan ' di antaranya empat bulan yang dihormati' ialah: "Empat bulan haram iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab" . Di dalam perkara ini telah disepakati oleh ulama'.
Apabila munculnya bulan Rejab, di antara hadith yang sering diutarakan tentang kelebihan bulan Rejab ini ialah hadith daripada Abi Said al-Khudriy yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: "Rejab adalah bulan Allah, Sya'ban adalah bulanKu dan Ramadhan pula adalah bulan umatku". Hadith ini banyak dicatatkan dalam kitab-kitab jawi melayu, tetapi persoalannya apakah pandangan ulama' hadith tentang kesahihan hadith ini?
Di sini, dilontarkan beberapa pandangan muhaddisin (ulama' hadith) tentang hadith ini. Pandangan para muhaddisin ini dinaqalkan daripada risalah "Izharul Ajbi Fi Bayaani Bida' Syahri Rajabi", karangan Syeikh Aqil bin Muhammad.
1. Al-Iman Ibnu Jauzi. Beliau telah mengarang satu kitab yang berjudul "Al-Maudhuuat" (hadith-hadith palsu). Beliau telah memasukkan hadith ini dalam kitab beliau tersebut dan menyebut: Hadith ini adalah pembohongan terhadap Rasulullah s.a.w. jilid 2, muka surat 206.
2. Imam al-Suyuti. Beliau telah mengarang kitab "Al-Laali' al-Masnu'ah Fil Ahadith al-Maudu'ah" iaitu satu kitab yang mengumpulkan hadith-hadith palsu. Beliau memasukkan hadith ini ke dalam kitab tersebut, jilid 2, muka surat 114.

1 comments:

Pengikut