Masjid adalah tempat yang disukai oleh Allah manakala pasar adalah tempat yang dibenci oleh Allah. Solat di masjid Haram seratus ribu kali ganda pahala solat manakala solat di masjid Aqsa lima ratus kali ganda pahala. Sesiapa yang membina masjid mengharapkan keredhaan Allah semata-mata maka Allah akan membina seumpama untuk dirinya di syurga.
Suatu hadith sahih yang diriwayatkan oleh Ahmad bermaksud sesiapa yang membina masjid walau sebesar sarang burung. Allah akan bina rumah untuknya di syurga.
Disunatkan membaca doa untuk ke masjid seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. yang maksudnya: "Ya Allah jadikan cahaya dihatiku, cahaya di pandanganku, cahaya di pendengaranku, cahaya di kananku, cahaya di belakangku, cahaya di sarafku, cahaya di dagingku, cahaya di darahku, cahaya dirambutku dan cahaya di kulitku." (Hadith ini sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim).
Dalam hadith yang lain, Bukhari dan Muslim meriwayatkan, maksudnya: "Sesiapa yang ke masjid pada waktu pagi atau petang. Allah akan menyediakannya hidangan di syurga setiap kali dia pergi waktu pagi atau petang".
Hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad dan lain-lain bermaksud: "Apabila kamu melihat seorang lelaki sentiasa ke masjid maka saksikanlah dengan keimanannya."
Disunatkan dua rakaat tahiyyatul masjid apabila masuk ke masjid sebelum duduk. Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya : "Apabila seseorang masuk ke masjid hendaklah dia sembahyang dua rakaat sebelum dia duduk." (Hadith ini sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim).
Orang berjunub, berhaid dan bernifas, mereka semua dilarang masuk ke masjid melainkan jika hanya lalu tanpa berhenti di dalam masjid. Firman Allah, maksudnya: "Dan orang-orang yang berjunub tidak boleh masuk ke masjid melainkan dengan keadaan lalu sahaja sehingga mereka mandi wajib." (Rujuk surah An-Nisa' 4:43)
Nabi bersabda di dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu Daud, maksudnya: "Maka sesungguhnya aku mengharamkan masjid kepada orang yang berhaid dan berjunub".
Mengenai tidur di masjid, harus dan tidak makruh tidur di masjid menurut ulama mazhab Syafie kerana ia dilakukan oleh Ibnu Umar dalam hadith sahih riwayat Imam Bukhari dan Muslim.
Berkaitan dengan orang kafir masuk masjid pula yang menjadi isu mutakhir ini, Imam Abu Hanifah dan ulama mazhab Syafie mengharuskan kepada orang kafir masuk ke masjid. Ini kerana, Thamamah bin Athal diikat di masjid dan orang kristian Najran masuk ke masjid Nabawi. Mazhab Syafie meletakkan dua syarat iaitu:
1. Mendapat keizinan oleh pimpinan Islam.
2. Bukannya masjid haram Makkah.
Bagi mazhab Maliki, melarang sama sekali kemasukan orang kafir melainkan orang-orang yang bekerja.
Menyentuh mengenai larangan mengotorkan masjid, Nabi s.a.w. bersabda yang maksudnya: "Meludah di masjid adalah satu kesalahan, penghapus dosanya adalah dengan menanamnya." (Hadith sahih Bukhari dan Muslim).
Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Muslim, Nabi s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya masjid-masjid ini tidak boleh dikencingkan dan dicampakkan kotoran. Sesungguhnya ia hanya untuk berzikir dan membaca al-Qur'an."

0 comments:

Post a Comment

Pengikut