Daripada Ibn 'Abbas - radiyalLahu 'anhuma - katanya: "Pada suatu malam, aku solat bersama Rasulullah s.a.w. Aku berdiri di sebelah kirinya. Lalu baginda memegang kepalaku dan mengalihku ke sebelah kanan baginda." (Muttafaq alayh, al-Bukhari 726, Muslim 1837).

PENGAJARAN HADITH:

1) Abdullah bin 'Abbas - radiyallahu 'anh - adalah salah seorang daripada remaja-remaja yang tamak akan kebaikan dan ilmu sehingga beliau sanggup tidur di rumah makciknya, Maimunah iaitu isteri Nabi s.a.w. - untuk melihat sendiri bagaimana tahajjud Nabi s.a.w. Ketika itu umurnya hampir 11 tahun.

2) Hadith di atas menunjukkan bahawa pendidikan anak-anak khususnya dalam solat hendaklah bermula sejak kecil termasuklah ibadah sunat seperti tahajjud.

3) Solat malam adalah wajib bagi nabi-nabi s.a.w. - tetapi ia adalah sunat bagi Anas dan orang lain. Jadi, hadith di atas menjadi dalil bahawa boleh dan sah bagi orang yang solat fardu (wajib) mengimamkan orang yang solat sunat.

4) Hadith di atas menjadi salil bahawa sah orang yang baligh (dewasa) mengimamkan kanak-kanak walaupun seorang.

5) Hadith menunjukkan bahawa saf kanak-kanak bersama orang yang baligh adalah sah.

6) Hadith menunjukkan bahawa yang terbaik bagi seorang makmum itu ialah berdiri di sebelah kanan dan rapat dengan imam. Tetapi sah solat bagi makmum yang berdiri di sebelah kiri imam walaupun kosong disebelah kanan. Ini berdasarkan hadith di atas kerana Nabi s.a.w. tidak membatalkan solat Ibn Abbas.

7) Hadith menunjukkan keharusan solat malam dan kelebihannya. Nabi s.a.w. - berterusan melakukannya serta menggalakkannya.

8) Hadith menunjukkan bahawa berniat menjadi imam sebelum solat bukanlah syarat sah untuk menjadi imam. Boleh berniat sebagai imam selepas takbiratul ihram.

9) Pergerakan selain daripada pergerakan rukun solat seperti mengubah kedudukan makmum dan sebagainya yang dilakukan ketika solat untuk maslahat (kepentingan) solat adalah tidak membatalkan solat sama sekali.

Kata Imam al-Nawawiy di dalam kitab Raudah al-Talibin: "Jika hanya seorang makmum, diharuskan untuk berada belakang sedikit daripada tempat imam berdiri. Jika terdapat dua orang makmum atau lebih, maka mereka perlu berada di belakang imam. Sah solat walaupun imam dan makmum berada sebaris. Ukuran bagi hadapan atau sebaris dengan imam adalah pada tumit. Jika tumit sama sebaris tetapi jari-jari kaki makmum berada hadapan daripada imam, maka tidak mengapa." Jika jari-jari kaki makmum berada belakang daripada jari-jari kaki imam tetapi tumitnya berada hadapan daripada imam, maka solatnya terbatal.

10) Hadith menunjukkan bahawa boleh melakukan solat sunat secara berjamaah seperti solat sunat tahajjud hanya sekadar untuk mengajar atau melatih diri dan ia tidak dijadikan syiar yang berterusan.

KHILAF ULAMA'

1. Pendapat yang masyhur dalam mazhab Imam Ahmad (Hanbaliy): Rosak solat seorang makmum itu jika ia berdiri di sebelah kiri imam sedangkan kosong di sebelah kanannya.

2. Pendapat jumhur ulama' - di antaranya imam yang tiga (Shafi'iy, Malikiy dan Hanafiy): Sah solat di sebelah kiri Imam walaupun kosong di sebelah kanan. Sebahagian besar para sahabat berpendapat sedemikian. Mereka berdalilkan hadith (1) di atas. Berdasarkan hadith tersebut, Nabi s.a.w. - tidak membatalkan solat Ibn Abbas. Baginda hanya mengubahnya ke dudukan yang lebih baik.

3. Pendapat jumhur ulama': Sah saf kanak-kanak di dalam solat bersama orang dewasa sama ada di dalam solat fardu atau solat sunat berdasarkan hadith ini.

4. Pendapat yang masyhur dalam mazhab Hanbaliy: Sah saf kanak-kanak bersama orang dewasa di dalam solat sunat sahaja, bukan solat fardu. Namun, tiada dalil yang disertakan.

Yang paling sahih ialah harus saf kanak-kanak bersama orang dewasa sama ada di dalam solat fardu atau sunat kerana tiada dalil yang menetapkan solat fardu atau sunat. Hukum ini merangkumi kedua-duanya. Barangsiapa yang mengkhususkan salah satu daripada keduanya, maka hendaklah ia mempunyai dalil. Kata Syeikh al-Islam: "Ini adalah pendapat yang kuat."

1 comments:

  1. 1xBet korean betting online at legalbet.co.kr
    1xbet korean betting online at legalbet.co.kr. Register for our best and latest bonus now! Get up to 100% скачать 1xbet match bonus.

    ReplyDelete

Pengikut