Menjelmanya alam remaja atau awal dewasa bagi seseorang insan, pastinya merupakan pelbagai pahit getir dialami, sama ada kepada fizikalnya yang mungkin berubah secara mendadak, atau kepada jantinanya yang subur dengan ketara, berbanding alam kanak-kanak yang dilaluinya sebelum ini. Sesungguhnya cecair coklat yang keluar dan kadang-kadang bersama darah itu adalah darah haid, ia merupakan petanda bahawa seseorang perempuan (gadis) itu dengan rasminya telah dewasa, atau menurut istilah agama, gadis berkenaan sebagai orang mukallaf yang sudah akil baligh.
Bagi mana-mana gadis atau perempuan, jangan dilanda keresahan dengan fenomena sebegini kerana semua golongan Hawa menjalaninya. Menurut hadith yang disabdakan kepada Aisyah r.a.: "Haid adalah suatu ketentuan Allah ke atas golongan Hawa," (Sila rujuk Bukhari 1/342). Maksudnya, ia tiada kena mengena dengan apa-apa kepercayaan. Sesetengah orang menghubungkan kisah ini dengan kejadian yang berlaku kepada nenek Hawa yang dipaksa keluar sebaik sahaja ia dan Adam melanggar larangan Allah daripada memakan buah kayu al-khud di dalamnya. Kisah ini tidak dapat disahkan kebenarannya.
Dalam fiqh Islam ada tiga jenis darah yang keluar dari faraj seseorang wanita, ia dikenali dengan nama-nama haid, istihadah dan nifas.
DARAH HAID:
Darah haid ialah darah yang keluar daripada seseorang perempuan, dalam keadaannya yang cukup sihat. Darah ini berbeza dengan darah-darah nifas dan istihadah dari segi warna dan waktu.
Antara perkara yang perlu diketahui berhubung haid, ialah persoalan-persoalan seperti pada usia berapakah haid bermula? Berapa lamakah tempoh sesuatu pusingan haid? Apakah tanda-tanda yang membezakan antara pendarahan haid dan bukan haid? Apakah hukum yang wajib dipatuhi seseorang ketika menjalani haid, nifas dan istihadah? Pada usia berapakah kaum Hawa itu boleh mengalami menopaus dan sebagainya.
Bagi menjawab persoalan pada usia berapakah haid bermula,tidak ada keterangan khusus menunjukkan haid bermula pada usia-usia tertentu. Berdasarkan kaji selidik para ulama', usia 9 hingga 15 tahun adalah lingkungan usia bermulanya kedatangan haid pertama. Jika usia kanak-kanak itu melebihi 15 tahun, sedang haid belum juga datang, kanak-kanak itu tetap juga berusia baligh, sekalipun belum terjadi haid. Jika darah itu keluar, sedangkan kanak-kanak itu belum berusia 9 tahun, maka darah itu dikatakan darah kotor atau dam fasad.
Ada kemungkinan, perbezaan iklim, pemakanan, persekitaran hidup dan latar belakang keluarga, turut membezakan usia permulaan kedatangan haid. Walau bagaimanapun berpendapat, haid tidak mungkin berlaku sebelum usia 9 tahun menurut kiraan bulan. Atas dasar ini, anak-anak warga kota mungkin lebih cepat datang haid berbanding anak-anak warga desa dan begitulah sebaliknya jika hendak dibandingkan kanak-kanak sekarang lebih cepat datang haid berbanding kanak-kanak 50 tahun dahulu.
Menyentuh mengenai tempoh minimum haid, Imam Abu Hanifah berpendapat tiga hari tiga malam atau 72 jam. Tempoh sederhana atau kebiasaannya lima hari, manakala tempoh maksimumnya ialah sepuluh hari sepuluh malam. Jika darah masih juga keluar selepas tempoh itu, anggaplah sahaja darah istihadah (pendarahan biasa).
Menurut Imam Syafi'i dan Ahmad, tempoh minimum haid ialah sehari semalam atau 24 jam. Tempoh biasanya ialah 6 atau 7 hari, sedang tempoh maksimumnya ialah 15 hari 15 malam. Jika lebih daripada had itu, maka dianggap darah istihadah. Imam Malik pula berpendapat minuman darah haid ialah satu detik waktu, manakala tempoh maksimumnya ialah 15 hari, iaitu bagi wanita yang belum pernah datang haid sebelumnya. Jika pernah datang haid, maka ia mempunyai adat kebiasaannya sendiri.
Perbezaan pendapat fuqaha dalam menentukan tempoh haid cukup ketara, kerana masing-masing berdasarkan kajian, sedangkan mereka tidak mempunyai dalil yang sahih untuk dirujuk. Saya berpendapat, tempoh haid adalah berbeza antara seorang wanita dengan wanita yang lain, ia tidak boleh disamakan dengan semua orang atau ditentukan dengan masa dan hari dengan tepat dan tetap. Penentuan sebenarnya ialah kebiasaan yang dialami seseorang perempuan. Jika ia biasa datang 7 hari, maka 7 hari sahaja tempoh haidnya. Jika kedatangan haidnya kali pertama, maka darah berwarna hitam menentukan haid, kerana hadith menyatakan, darah haid itu hitam.
Menyentuh tentang warna darah, hadith menyatakan darah haid itu berwarna hitam atau merah pekat. Jika darah yang keluar itu berwarna merah cerah, kuning atau keruh seperti tanah, maka ia bukan darah haid dan dengan sendirinya tidak menghalang daripada menunaikan solat. Banyak hadith yang boleh diketengahkan, misalnya hadith riwayat Ahmad, Abu Dawud dan lain-lain, Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Fatimah Abu Hubaisy tatakala menjawab pertanyaannya tentang darah: "Sesungguhnya darah haid itu hitam, maka hentikan solat, sebaliknya jika warna-warna lain, maka berwuduk dan teruskan solat."
Ulama' juga tidak sependapat menentukan usia berlakunya menopaus. Imam Abu Hanifah menyatakan, ia berlaku dalam usia 55 tahun, mungkin juga kurang daripadanya. Imam Syafi'i berpendapat tiada had usia bagi menopaus, tetapi biasanya sekitar usia 60-an. Imam Malik berpendapat menopaus berlaku selepas usia 70 tahun.
Perbezaan pendapat ini juga berpunca daripada ketiadaan dalil sahih yang boleh dijadikan rujukan. Apa yang diputuskan itu, hanya berpandukan kaji selidik yang terbatas dan tidak menyeluruh. Walau bagaimanapun, semua ulama' sependapat, jika selepas usia menopaus itu, tiba-tiba kelihatan darah berwarna hitam atau merah pekat, maka darah itu hendaklah dikira haid. Wanita berkenaan hendaklah mematuhi hukum-hukum haid sepertimana biasa.
NIFAS:
Nifas ialah darah yang keluar selepas bersalin. Darah ini biasanya keluar berterusan antara tiga hingga empat minggu, kadang-kadang berterusan hingga 40 hari. Tiada dalil sahih yang menentukan had bagi tempoh maksimumnya. Ukuran sebenarnya ialah apabila darah itu kering, maka hendaklah dianggap nifasnya sudah berhenti. Segala kewajipan ibadat hendaklah dikerjakan sepertimana biasa.
ISTIHADAH:
Istihadah ialah darah yang keluar dari faraj wanita secara luar biasa dari biasa, disebabkan penyakit atau sebab-sebab lain. Warna darahnya berbeza dengan darah haid, waktunya juga tidak berlaku selepas bersalin. Jika kriteria utama darah haid ialah hitam atau merah pekat, maka darah istihadah adalah merah darah yang asli dan membeku sebaik sahaja keluar, sedangkan darah haid tidak mudah membeku.
BEBERAPA HUKUM YANG BERKAITAN DENGAN HAID, NIFAS DAN ISTIHADAH:
1. Wanita yang selesai menjalani tempoh haid dan nifas hendaklah mandi atau bersuci. Pendarahan istihadah tidak menghalang solat dan puasa.
2. Wanita yang selesai haid buat kali pertama, dengan sendirinya ia dikira sebagai dewasa. Tempat duduknya ketika solat adalah bersama orang dewasa.
3. Kewajipan solat dalam tempoh haid dan nifas digugurkan. Bahkan tidak wajib diqada semua solat yang ditinggalkan dalam tempoh itu.
4. Dilarang berpuasa bagi wanita yang sedang haid dan nifas, tetapi hendaklah mengqadakan puasa Ramadhan selepas suci daripada haid dan nifas.
5. Haram menyentuh mushaf dan membaca kitab suci al-Qur'an, tetapi Imam Malik mengharuskan untuk membaca, jika ia seorang guru atau hafizah, tanpa menyentuhnya.
6. Dilarang masuk masjid dan berada di dalamnya.
7. Dilarang melakukan tawaf, kerana kaabah sebahagian daripada masjid.
8. Jika wanita itu bersuami, haram dicerai dalam tempoh haid, tetapi tidak haram dalam tempoh istihadah.
9. Bagi wanita yang menjalani pendarahan istihadah, tiada ibadat yang dilarang melakukannya. Segala ibadat dan urusan yang harus dilakukan oleh orang biasa, harus dilakukan oleh wanita yang sedang mengalami pendarahan itu.
Demikianlah, serba ringkas hukum-hukum haid, nifas dan istihadah. Saya berpendapat, hukum-hukum ini perlu diambil perhatian oleh semua pihak, terutamanya ibu bapa, pendidik, bakal pendidik dan remaja sebagai pihak yang lebih bermasalah dan akan berhadapan dengan permasalahan ini. Setakat ini sahaja perbincangan yang mampu dilontarkan, hari sudah lewat malam. Wallahu A'lam.

1 comments:

  1. saya nak tanaya ada tak cara untuk hentikan darah istihadah daripada keluar berterusan..

    ReplyDelete

Pengikut