Ketibaan awal Muharam dan Januari 2010, mampu mengimbau kembali segala tinta hitam yang telah ternoda di hati kita, sebagai teladan untuk kita di tahun baru. Membawa diri untuk berhijrah kepada yang lebih baik, menghayati setiap detik masa yang berlalu begitu pantas tidak pernah sekali berpaling menunggu kita, itulah peluang untuk kita muhasabah diri setiap masa.
Hijrah bukan hanya di awal tahun, azam juga bukan sekadar sehari dua sahaja. Setiap hari adalah hari penghijrahan untuk kita, alangkah indahnya jika kita hari ini kita lebih baik dari semalam, hari esok kita lebih baik dari hari ini, dan itulah sebenar-benar keuntungan dalam hidup manusia yang mampu berfikir. Pengalaman yang mengajar setiap perkara dalam hidup boleh dijadikan iktibar untuk hari mendatang. Jangan sesekali menyesali atas apa yang berlaku pada diri dan persekitaran, kerana setiap apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.
Ujian tetap akan menimpa setiap manusia yang mengaku dirinya beriman kepada Allah dan mengaku Muhammad s.a.w. sebagai pesuruh Allah. Kekuatan iman, ketahanan emosi amat diperlukan dalam menghadapi saat-saat kepayahan dalam hidup. Tiada hari yang sentiasa cerah, tiada bumi yang tidak ditimpa hujan, setiap insan di atas muka bumi ini ada bahagian masing-masing dalam menguji kekuatan rohani dan emosi mereka.
Deras arus dunia pasti menghanyutkan hati-hati yang mudah berbolak-balik tidak berpegang pada tali Allah. Tanpa iman dalam hati, pasti mudah untuk dikuasai oleh syaitan. Sabar menempuh jalan yang berlaku. Hayatilah kedatangan awal Muharam dengan penuh keinsafan, bukalah lembaran baru dalam hidup. Ungkai setiap rantai tinda hitam yang membelenggu hati, biarkan ia tenang mencari cahaya yang suci. Sempena awal Muharam dan kehadiran Januari 2010 menjelma, marilah kita tingkatkan azam untuk menjadi insan yang cemerlang dan bertaqwa kepada Allah. Salam Muharam buat semua.

1 comments:

  1. semoga tahun baru ini memberikan kita kekeuatan utk lebih taat keoada ALLAH serta meningatkan keimanan kita kpdNYA..amin

    ReplyDelete

Pengikut