Zaman ini zaman kebendaan, zaman budaya sensate memainkan peranan yang mengatasi segala aspek di dalam hidup moden. Zaman ini zaman manusia sangat lemah imannya juga zaman lemah hidup rohaniahnya. Ini adalah zaman information explosion, revolusi maklumat dengan pelbagai alat dan kaedahnya, iaitu zaman kebendaan menguasai segala-galanya. Zaman kini, kita melihat negara dilanda kemusnahan negara yang dibinakan di atas dasar falsafah kebendaan yang diasaskan oleh manusia bernama Marx.
Akidah Islam, merupakan kebenaran yang sedia kala dan mantap, dengan segala kegemilangannya. Beberapa ancaman yang ada dalam suasana semasa ini merupakan gerhana sementara, yang kemudiannya akan menghilang dan kegemilangan mentari akidah itu akan bersinar semula. Itu janji Allah. Janji Allah suatu kepastian, Islam akan mencapai kemenangan. Kaum muslimin pada hari ini perlu berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan akidah yang terancam, supaya kebenarannya akan bersinar dan hidup manusia akan menjadi bahagia.
Akidah ialah akidah yang merupakan pegangan Islam yang berdasarkan kepada al-Qur'an, al-Sunnah dan ijma' atau persepakatan (consensus) umat ini. Ia menjadi perkara yang ditentukan oleh ijma'. Manakala yang dimaksudkan dengan ancaman-ancaman ke atas akidah pula ialah pegangan, tanggapan-tanggapan serta idea-idea yang menghakiskannya, melemahkannya dalam pegangan manusia dan akalnya, serta bercanggah dengannya yang membatalkannya dalam hidup manusia.
Antara ancaman-ancaman itu kalau dalam bentuk tradisionalnya dan klasiknya ialah seperti:
1) FAHAMAN ZINDIK yang mengajarkan Tuhan dalam diri, atau seseorang itu Muhammad, dan sebagainya ataupun Allah bersifat seperti manusia. Ini mungkin merebak melalui ilmu tarekat yang palsu yang tidak terbimbing oleh mereka yang arif di dalamnya.
2)FAHAMAN JABARIAH yang mengajarkan manusia tidak berusaha apa-apa. Tuhanlah yang menggerakkan segala-galanya, dan apabila seseorang itu melakukan dosa seperti mengkianati harta atau kehormatan orang, maka dikatakan itu gerak-geri Tuhan.
3) FAHAMAN MUKTAZILAH yang mengajarkan manusia sebagai pembuat yang mutlak bagi perbuatannya, seolah-olah tidak ada takdir lagi. Atau fahaman yang berkecenderungan hendak menafikan mukjizat dan peristiwa-peristiwa yang luar biasa dalam hidup para nabi dan para wali. Juga termasuk ke dalam fahaman ini ialah yang menolak ijma', misalnya sebagaimana yang menjadi pegangan an-Nazzam dalam kalangan mereka. Juga antara mereka ini menolak hadith. Mereka ini terlalu bersifat 'rasionalistik' dan setengah pegangan mereka membawa kepada kekufuran.
4) FAHAMAN SYIAH yang banyak unsur-unsurnya yang terus kekal sampai sekarang antaranya, unsur memfasikkan atau mengkafirkan para sahabat, unsur percayakan kepada imam yang maksum yang mengatasi Nabi dan Rasul, unsur percayakan kepada al-Qur'an yang sempurna yang akan dibawa oleh Imam Mahdi yang dinanti-nanti, iaitu Muhammad bin Hasan al-Askari, unsur percayakan kepada al-Raj'ah, iaitu bagaimana dibangkitkan beberapa orang sahabat Nabi sebelum kiamat supaya mereka dihukum oleh Imam Mahdi, selepas itu baharulah berdiri kiamat.
5)FAHAMAN WIHDATUL-WUJUD yang zindik (yang berlainan daripada wahdatul-wujud yang sebenarnya yang terdapat huraian tentangnya dalam kalangan para Imam rohaniah yang sebenarnya), yang mengajarkan fahaman serba Tuhan, yang sama dengan Pantheism di Barat, sebagaimana yang disebutkan oleh Titus Burckhardt dalam tulisan-tulisannya
Ancaman-ancaman dari fahaman-fahaman di atas itu masih kekal sampai sekarang walaupun kumpulan-kumpulan (firaq) yang mendukung fahaman itu tidak lagi tertonjol dalam sejarah semasa, walaupun sebahagian daripadanya masih ada lagi.
Manakala isu besar yang boleh diketengahkan sebagai satu ancaman kepada masyarakat hari ini adalah bercambaknya ancaman-ancaman dari Barat moden beberapa aliran faham yang menyesatkan generasi manusia hari ini, antaranya ialah:
1) FAHAMAN SEKULARISME yang memisahkan hidup agama dan hidup dunia, antara dunia dan akhirat, antara yang rohaniah dan jasmani. Akibat fahaman ini, yang berpunca daripada sejarah intelektual Barat, timbullah tanggapan agama sebagai perkara perseorangan yang tidak ada kena mengena dengan kehidupan kemasyarakatan atau umat. Fahaman sekular yang sedemikian itu boleh membawa seseorang itu terkeluar daripada pegangan Islam yang sebenarnya.
2) FAHAMAN KEBENDAAN (MATERIALISME) merupakan satu lagi cabaran yang mengancam Islam dan akidahnya. Yang dimaksudkan faham kebendaan itu ialah tanggapan bahawa benda dengan takrifnya dalam ilmu fizik klasik ataupun ilmu fizik moden dianggap sebagai wujud yang hakiki terbebas daripada Kuasa Tertinggi (Tuhan) Yang Menciptanya. Musnahnya negara komunis Rusia kebelakangan ini menandakan berakhirnya faham kebendaan tetapi bagaimanapun unsur-unsur fahaman itu tetap menjadi agenda utama pemikiran kebendaan manusia hari ini.
3) FAHAMAN SAINTISME juga merupakan satu ancaman kepada akidah Islam. Yang dimaksudkan Saintisme ialah stail, tanggapan-tanggapan atau teknik-teknik dan sebagainya yang merupakan sifat ataupun yang dianggap sebagai sifat bagi ahli-ahli sains dan kerja-kerjanya. Yang menjadi masalahnya ialah apabila ayat-ayat al-Qur'an, Hadith dan ajaran-ajaran agama yang tidak bersesuaian dengan teori-teori ataupun penemuan-penemuan sains ditolak, sampai hadith sahih pun ditolak kerana pandangan ini. Ini boleh membawa kepada tergelincirnya mereka yang berkenaan daripada Islam.
4) FAHAMAN KOMUNISME, fahaman komunisme dengan "dialektika kebendaan" dan juga konsep pertembungan kelas masyarakat serta kepentingan proliter yang tidak berkelas, yang terbukti tidak boleh dipertahankan baik dari segi ilmu dan sejarah, itu tidak perlu dibicarakan lagi.
5) FAHAMAN SOSIALISME juga ia berdasarkan asalnya kepada beberapa tanggapan tentang masyarakat yang tidak berkelas dan kaedah-kaedah tertentu tentang kedudukan pekerja-pekerja dan sebagainya.
6) FAHAMAN KAPITALISME juga menjadi ancaman apabila ia dijadikan pegangan dalam amalan-amalan dan konsep-konsep yang membawa kepada amalan menindas dan kezaliman serta penyalahgunaan bahan-bahan produksi dan tenaga buruh dan sebagainya. Ancamannya tidak begitu kelihatan dalam hubungan dengan akidah kecuali dalam aspek-aspek tertentu yang menganggapnya sebagai sistem terbaik bagi menggantikan Islam. Kenyataan ini adalah menyimpang dan tidak rasional.
Antara yang menjadi ancaman kepada akidah Islamiah ialah beberapa bahagian daripada tanggapan dan amalan Liberalisme Barat yang bercanggah dengannya. Antaranya ialah kebebasan manusia dari segi keinginan-keinginan yang relatif, kebebasannya yang tidak tidak terkawal dengan ajaran syariat dan konsep insan yang bersifat sarwajagat, boleh membawa kepada satu percanggahan yang dahsyat dengan akidah Islam. Mereka yang berpegang kepadanya secara total tersasul hidupnya daripada Islam - dan boleh juga membawa kepada kekufuran.
Bagi memperbetulkan keadaan yang tempang ini untuk berhadapan dengan pelbagai ancaman, kita perlu mengambil langkah-langkah seperti mengadakan buku-buku, artikel-artikel, diskusi, seminar dan bengkel-bengkel tentang persoalan yang berkaitan dengan akidah. Jika kita gagal dalam menangani masalah fahaman-fahaman sebegini, bahaya fahaman sesat di era moden ini akan menjadi parah kepada unat Islam.

0 comments:

Post a Comment

Pengikut